Rancangan Televisyen di Amerika Syarikat

Televisyen Amerika Syarikat berbangga kerana menjayakan rancangan-rancangan terkemuka yang mengilhamkan rangkaian televisyen seluruh dunia agar menyiarkan rancangan-rancangan tersebut atau menerbitkan rancangan yang serupa di negara masing-masing. Ada di kalangan rancangan-rancangan lama yang masih disiarkan dan dihidupkan melalui pensindiketan. Begitu juga, sebilangan rancangan Amerika yang terkenal juga diadaptasi dari rancangan luar negara, khususnya United Kingdom dan Kanada.

Siri komedi waktu pertama dikuasai komedi situasi (sitkom) seperti I Love Lucy, M*A*S*H, All in the Family, The Jeffersons, The Cosby Show, Seinfeld, Friends dan Everybody Loves Raymond, dan juga siri lawak sketsa atau anekarama seperti The Carol Burnett Show, dan Rowan and Martin's Laugh-In.

Siri drama pula tampil dalam pelbagai jenis. Genre Western seperti Gunsmoke mencapai kemuncak popularitinya pada 1950-an dan 1960-an. Juga bertahan sekali termasuk drama perubatan (Marcus Welby, M.D., St. Elsewhere, ER), drama keluarga (Eight is Enough, The Waltons, Little House on the Prairie) dan drama jenayah (Dragnet, Hawaii Five-O, Hill Street Blues, Law & Order dan CSI: Crime Scene Investigation).

Semua rangkaian utama menyiarkan rancangan berita pagi (terutamanya The Today Show di NBC dan Good Morning America di ABC), dan juga berita petang yang diterajui pemberita utama rangkaian (Walter Cronkite dan Dan Rather di CBS; Chet Huntley, David Brinkley dan Tom Brokaw di NBC; dan Peter Jennings di ABC). Tidak dilupakan juga rancangan majalah seperti 60 Minutes, 20/20, dan Dateline pada waktu perdana dan Meet the Press (siri terlama di A.S., sejak tahun 1947), Face the Nation dan This Week pada pagi Ahad.

Televisyen realiti sudah lama wujud di Amerika Syarikat, baik berbentuk komedi (Candid Camera, Real People) mahupun drama (COPS, The Real World), diikuti rancangan realiti berbentuk pertandingan yang popular sejak tahun 2000 dengan pelancaran Survivor, diikuti Big Brother, The Amazing Race, America's Next Top Model, So You Think You Can Dance dan American Idol.

Drama lipur lara Amerika sudah menjangkaui 60 tahun siaranbta. Empat judul drama sedemikian sudah berkumandang selama lebih 40 tahun, iaitu The Guiding Light, As the World Turns, General Hospital dan Days of our Lives. Contoh lipur lara waktu perdana terkenal termasuk Peyton Place, Dallas, Dynasty, Beverly Hills, 90210, dan The O.C..

Siaran waktu siang selama ini juga menempatkan banyak rancangan permainan popular (khususnya pada 1970-an), seperti The Price is Right, Family Feud, Match Game, The Newlywed Game dan Concentration. Wheel of Fortune dan Jeopardy! juga mencapai kejayaan di waktu petang sebelum waktu perdana, tidak dilupakan juga rancangan permainan waktu perdana yang dijayakan pada 1950-an dan 1960-an (What's My Line?, I've Got a Secret, To Tell the Truth) dan 2000-an (Who Wants to Be a Millionaire, The Weakest Link, Deal or No Deal).

Rancangan temubual yang paling berjaya ialah The Tonight Show yang (khususnya ketika diacarakan oleh Johnny Carson) disiarkan pada larut malam (selepas 11:30 malam Timur/Pasifik). Tonight Show menjulang dominasi rancangan larut malam oleh sebuah rangkaian selama berpuluh-puluh tahun lamanya serta memberi laluan kepada rancangan-rancangan gabungan komedi dan temubual yang sedemikian, terutamanya yang diacarakan oleh Merv Griffin dan David Letterman.

Rancangan temubual waktu siang yang berjaya pula termasuk The Oprah Winfrey Show, Phil Donahue, The Ellen DeGeneres Show, dan Live with Regis and Kelly. Wujudnya juga rancangan temubual tabloid (trash TV ) yang berunsur ekspolitasi dan mengghairahkan seperti The Jerry Springer Show.

Kitaran hidup rancangan televisyen A.S.

Syarikat penerbitan televisyen menyediakan skrip untuk dijadikan episod rintis (pilot). Rancangan mana yang disangka boleh dikomersilkan oleh syarikat penerbitan kemudiannya dipasarkan ke rangkaian TV, atau pengedar televisyen untuk rancangan rancangan bersindiket. (Misalnya, KingWorld mengedarkan rancangan Oprah secara sindiket siaran pertama kerana rancangan tersebut tidak bersekutu dengan mana-mana rangkaian besar.) Antara faktor yang harus dipertimbangkan rangkaian TV apabila berurusan dengan rancangan baru ialah sama ada rancangan berkenaan serasi dengan penonton sasaran rangkaiannya, dan sama ada rancangan ini digemari para eksekutif rangkaian.

Adakalanya sesebuah rangkaian membeli episod rintis terlebih dahulu sebelum pesaingnya mengambil kesempatan, tetapi pembelian episod rintis ini bukan jaminan bahawa episod-episod seterusnya akan dipesan jua. Rancangan yang berjaya diambil bakal menerima pesanan semusim penuh atau separa musim, selepas itu barulah penerbitan rancangan dimulakan dengan menetapkan latar, kakitangan lengkap dan pejabat penerbitan. Selepas penulis lakon layar diambil kerja, pengarah dipilih, maka bermulanya kerja pembikinan, selalunya dilakukan pada musim bunga dan panas sebelum tayangan perdana pada musim luruh. (Juga adanya rancangan gantian tengah musim (midseason replacement), iaitu rancangan yang ditempah khususnya untuk mengisi kekosongan dalam jadual rancangan yang terjadi akibat kegagalan dan pembatalan rancangan yang dimulakan pada musim luruh. Contoh rancangan sedemikian yang berjaya termasuk Buffy the Vampire Slayer dan The Office.)

Rancangan TV bersiaran di A.S. biasanya lebih kurang 22 episod semusim (iaitu hampir separuh tahun), sementara rancangan asli dalam rangkaian kabel pula setakat 10 hingga 12 episod semusim (hampir tiga bulan), lebih kurang macam televisyen di Britain.

Drama lipur lara Amerika bersiaran pada waktu tengahari, lima hari seminggu, tanpa tempoh rehat yang ketara dalam jadual rakaman dan siaran sepanjang tahun. Ertinya, siri-siri sedemikian bersiaran kira-kira 260 episod setahun, oleh itu para pelakon dan krewnya adalah yan paling sibuk dalam industri hiburan. jarang sekali rancangan lipur lara diulang tayang, maka adalah sukar bagi para penonton difficult "mengejarnya" seandainya terlepas sebulan mahupun seminggu siarannya. Mujurlah, adanya saluran kabel SOAPnet yang menyiarkan ulang tayang untuk semua drama lipur lara ABC, serta drama Days of our Lives, dan The Young and the Restless.

Rangkaian TV menggunakan keuntungan yang diraih dari iklan untuk membiayai syarikat penerbitan yang juga menampung membayar barisan pelakon dan krewnya, di samping menyimpan sebahagian untungnya untuk kegunaan diri. (Adakalanya rangkaian juga memegang peranan sebagai penerbit dan pengedar.) Memandangkan kadar pengiklanan berdasarkan saiz penonton, maka adalah amat penting untuk menyukat bilangan penonton sesebuah rangkaian. Sukatan ini dikenali sebagai ratings. Tempoh kaji selidik sweeps, iaitu bulan November, Februari, Mei, dan adakalanya Julai, merupakan tarikh-tarikh penting dalam industri televisyen, kerana ratings yang diperoleh pada suatu tempoh sweeps ini menentukan perubahgan kadar pengiklanan sehingga tempoh Sweeps seterusnya, maka selalunya perkembangan plot menarik dalam sesebuah rancangan disiarkan pada tempoh sweeps.

Rancangan-rancangan yang berjaya menarik penonton dan pengiklan menerima kelulusan dari pihak rangkaian untuk meneruskan penerbitan, sehingga berakhirnya jalan cerita (untuk rancangan berskrip sahaja) atau tamatnya kontrak (untuk rancangan berskrip dan tanpa skrip), sementara yang tidak berjaya pula diarah segera oleh pihak rangkaian untuk berhenti penerbitan, iaitu pembatalan (cancellation). Wujudnya rancangan yang mengalami ratings rendah tetapi terlepas dari pembatalan lalu mengecapi populariti tinggi, itupun jarang sekali. Selalunya, mana-mana rancangan yang tidak cepat mencapai kejayaan sekurang-kurangnya sederhana terpaksa dibatalkan menjelang akhir sweeps bulan November.